[VIDEO] Keluarga cemas disamun penjenayah bersenjatakan parang - Utusan Malaysia

[VIDEO] Keluarga cemas disamun penjenayah bersenjatakan parang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT 24 Julai – Sebuah keluarga berdepan detik cemas yang mungkin boleh membawa maut apabila kediaman mereka dimasuki kumpulan penjenayah bersenjatakan parang, di Bandar Saujana Putra di sini malam semalam.

Kejadian berlaku pada pukul 9.41 malam ketika semua ahli keluarga terbabit yang seramai lapan orang, berusia antara 12 hingga 70 tahun sedang beristirehat di ruang tamu dan meja makan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, secara tiba-tiba kumpulan penjenayah terbabit meluru masuk dan mengacukan parang kepada semua mangsa sebelum mengikat mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, kumpulan penjenayah itu seramai enam orang tetapi hanya tiga sahaja yang masuk ke dalam rumah mangsa dengan memanjat pagar.

“Penjenayah itu mengikat tujuh daripada mangsa di dalam bilik tingkat bawah, manakala, seorang ahli keluarga mangsa iaitu wanita dibawa ke bilik di atas sebelum barangan berharga termasuk barang kemas dilarikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, kejadian jenayah itu tular di media sosial menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan keadaan mangsa dan tindakan penjenayah terhadap ahli keluarga tersebut.

Menurut Azizan, anggaran kerugian adalah RM30,000 dan kesemua mangsa juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Usaha mengesan kesemua suspek sedang dijalankan dan meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung berkaitan kejadian tersebut supaya menghubungi pihak polis,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini