MFL mungkin mansuh jawatan pengerusi - Utusan Malaysia

MFL mungkin mansuh jawatan pengerusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Julai – Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan pentadbir Liga Malaysia itu tidak menolak kemungkinan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi MFL sebagai satu daripada penstrukturan semula dalam badan induk itu.

Beliau berkata, cadangan pemansuhan jawatan Pengerusi MFL itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula pentadbiran yang terkandung dalam MFL Next50 Strategic Blueprint 2021-2070 yang dilancarkan di Johor Bahru pada 15 Julai lepas.

Menurutnya, Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju dengan penstrukturan semula itu kerana tidak mahu MFL menerima tempias dan kritikan kononnya beliau memiliki sentimen berat sebelah selaku pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Memuatkan artikel berkaitan…

Tunku Ismail melihat penstrukturan semula itu bakal memantapkan lagi pentadbiran MFL yang tidak lagi diterajui oleh seorang pengerusi sebaliknya dikawal sepenuhnya oleh Ahli Lembaga Pengarah, jelas Kevin dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Mengulas lanjut, Kevin menegaskan keputusan untuk meminda perlembagaan itu bergantung kepada persetujuan 24 rakan kongsi MFL iaitu pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia pada kongres yang dijangka diadakan pada September nanti.

“Agak mustahil untuk MFL beroperasi sekiranya terdapat persepsi negatif yang berterusan terhadap MFL jika mana-mana satu wakil dilihat mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding orang lain. Namun, ini cuma persepsi kerana Pengerusi MFL (Tunku Ismail) tidak pernah menggunakan mana-mana kuasanya sebagai pengerusi untuk mempengaruhi sesuatu keputusan.

“Untuk makluman, ada beberapa kali Pengerusi MFL enggan mengundi dalam sesebuah mesyuarat yang memerlukannya membuat keputusan. Ini untuk memastikan ahli lembaga pengarah dapat membuat keputusan dengan lebih bebas,” ujar Kevin. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini