KUALA LUMPUR 24 Julai – Polis memburu empat lelaki yang dipercayai melakukan samun terhadap seorang penjual buah-buahan berhampiran tokong Tua Pek Kong di Sungai Apong, Kuching, Sarawak, Ahad lalu.
Portal Utusan Borneo melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata, kejadian berlaku ketika lelaki berusia 55 tahun itu mengemas barang di tapak perniagaan didatangi empat suspek yang menaiki dua buah motosikal pada pukul 9.30 malam.
Menurutnya, dua daripada suspek bertindak memukul mangsa menggunakan kayu dan tangan sebelum seorang lagi suspek bertindak meragut rantai emas di leher mangsa.
“Selain itu, suspek turut merampas wang jualan dan wang tunai milik mangsa dan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM2,250.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di mata, muka dan tangan serta patah gigi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Awang Din, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian di balai polis berhampiran.
“Mangsa mendakwa dia telah berniaga di kawasan tersebut sejak tiga tahun lepas dan tidak pernah diganggu atau dimarahi mana-mana pihak sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE











