KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan membawa hasrat ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah untuk terus kekal bersama pasukan itu pada musim akan datang semasa mesyuarat persatuan tersebut.
Presidennya, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, Kafa bersedia membincangkan perkara itu pada mesyuarat yang akan diadakan selepas tamat Liga Malaysia.
“Mesyuarat exco akan membincangkan mengenai kedudukan pemain dan jurulatih pasukan untuk menghadapi saingan Liga Perdana, musim depan selepas Kelantan berjaya mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Perdana.
“Kami tidak boleh membuat keputusan secara terburu-buru dan harus mendapat pandangan daripada pelbagai pihak terutamanya exco KAFA,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Sebelum ini, Bernama melaporkan Yusri menyatakan hasrat untuk terus membimbing pasukan Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga- M) musim depan selepas dia berjaya mengekalkan pasukan itu dalam liga berkenaan.
Hasrat itu dinyatakan jurulatih tersebut selepas Kelantan berjaya menewaskan pasukan Universti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) 2-0 di Stadium Sultan Muhammad lV, Sabtu lepas yang merupakan perlawanan terakhir bagi menentukan sama ada Kelantan terus beraksi dalam Liga Perdana atau turun ke liga divisyen 3 (M-3), musim depan.
Wan Abdul Rahim memberitahu, persatuannya turut menagih tajaan untuk memperkuatkan kantung kewangan KAFA bagi menghadapi saingan Liga-M nanti.
“Kami amat mengalu-alukan tajaan daripada pihak swasta dan korporat bagi membantu dana untuk memperkuatkan pasukan dan menguruskan persatuan,” katanya.
Untuk rekod, pada awal musim ini Yusri berhijrah ke pasukan Kuala Lumpur dan Kelantan ketika itu dibimbing oleh jurulatih import, Marko Kraljevic, namun, Yusri mengambil alih semula selepas pasukan negeri itu berada di kedudukan tercorot.
Di bawah teraju Yusri, Kelantan akhirnya mampu mengekalkan pasukan untuk terus beraksi dalam Liga Perdana. – BERNAMA











