KOTA BHARU Julai 24 – Pejabat Pembangunan Negeri Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri akan melakukan pemutihan golongan miskin tegar di negeri ini untuk mengenal pasti jumlah sebenar menjelang 2020.
Berdasarkan laporan Pejabat Pembangunan Kelantan, seramai lebih 8,000 keluarga miskin tegar direkodkan bermula 2008 dan setakat ini, jumlah tersebut dipercayai berkurangan kepada sekitar 999 keluarga.
Pengarah Pembangunan negeri, Amir Zakri Mahmad Mahyidin berkata, menerusi pemutihan itu petugas khas seramai 47 orang akan melakukan semakan data khususnya yang berdaftar dengan pangkalan data e-Kasih.
Menurutnya, pemutihan itu akan dilakukan secara berkala daripada semasa ke semasa bagi memastikan golongan yang keluar daripada miskin tegar sentiasa dikemaskini setiap masa.
“Kita berharap jumlah pemutihan sehingga seramai 999 keluarga itu akan dapat dicapai menjelang 2020.
“Kita juga akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Pengurus Kominti Kampung (MPKK) bagi membantu menyelesaikan proses ini,” katanya.
Beliau ditemui dalam Program “I Care For You” Negeri dan Majlis Penyerahan Sumbangan Basikal Pelajar Ahli Isi Rumah eKasih di Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Buloh 2 , di sini hari ini.
Dalam majlis itu seramai 53 murid dari SK Kedai Buloh 1, SK Kedai Buloh 2, SK Pulau Kundor dan SK Che Latif menerima sumbangan basikal.
Yang hadir sama, Guru Besar SK Kedai Buloh 2, Zaiton Che Wil dan Ketua Jabatan Microtakaful (Tanggungjawan Sosial korporat) (CSR) Hilmy Darmin Ab. Rahman.
Amir Zakri berkata, sehingga sekarang jumlah keseluruhan golongan yang berdaftar dengan e-Kasih di negeri ini adalah seramai 100,550 keluarga dan Kelantan merupakan negeri ketiga paling ramai bagi kategori miskin.
Katanya, berdasarkan data semakan pihaknya, sebanyak 65,070 keluarga sudah tidak layak menerima sebarang bentuk bantuan. – UTUSAN ONLINE











