Penganggur dicekup, 100 kg ketum dirampas - Utusan Malaysia

Penganggur dicekup, 100 kg ketum dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN 24 Julai – Polis daerah ini menahan seorang lelaki berusia 20 tahun dan merampas daripadanya 15 plastik hitam mengandungi 100 kilogram daun ketum di sebuah rumah di Jalan Paka – Dungun di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, penganggur terbabit ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi dalam serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan, polis menjumpai daun ketum tersebut di ruang tamu rumah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Selain 15 bungkusan hitam berisi dedaun kehijauan disyaki daun ketum, kita juga merampas 32 paket plastik cecair kehijauan disyaki air ketum dan 45 paket plastik cerah berisi cecair kehitaman disyaki cecair codein,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya turut merampas perkakas dan alat memproses serta membungkus air ketum iaitu alat penimbang, periuk, dapur gas, penapis, tong gas warna kuning, tong hijau dan beberapa helai plastik.

PERALATAN memproses ketum yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Dungun semalam.

Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasaan dianggarkan sebanyak RM5,500 termasuk RM5,000 nilai daun ketum yang harga pasaran semasa RM50 untuk setiap kilogram.

“Hasil soal siasat suspek yang masih bujang mengaku semua ketum yang dijumpai miliknya dan bekalan tersebut diperolehi daripada pembekal di Perak.

“Pembekal tersebut menghantar bekalan dua kali seminggu dengan 100 kilogram bagi setiap penghantaran,” katanya.

Tambah beliau, hasil saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini