IPOH 24 Julai – Masalah kesesakan pesakit di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) di sini dapat diatasi menerusi perkhidmatan rawatan harian yang dijadual dan disempurnakan pada hari sama.
Ini juga bagi membolehkan pihak hospital memberi keutamaan rawatan bagi pesakit yang melibatkan pembedahan dan pemberian ubat terapi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, A. Sivanesan berkata, pembinaan Kompleks Rawatan Ibu dan Kanak-kanak juga bakal menyediakan ruang yang akan menempatkan Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dan Pediatrik.
Selain itu katanya, ruang-ruang yang ditinggalkan di blok utama dan blok lama O&G pula akan diguna untuk menampung keperluan pesakit-pesakit seperti dari Jabatan Perubatan dan Pembedahan.
“Ketika ini kadar penggunaan katil di HRPB sehingga Mac tahun ini pula adalah sebanyak 75.4 peratus dan masih mencukupi.
“Justeru tidak nampak keperluan yang kritikal untuk kita membina semula hospital berkenaan di tapak baharu buat masa ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan A. Sivasubramaniam (DAP-Buntong) tentang kemudahan rawatan dan cadangan pembinaan hospital baharu pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Dalam pada itu kata Subramaniam, Klinik Kesihatan Buntong yang dibina pada tahun 2009 mampu menampung keperluan sehingga 50,000 orang penduduk dengan purata kehadiran harian sekitar 300 hingga 500 orang pesakit sehari.
Menurut beliau, klinik ini mempunyai 73 orang petugas termasuk seorang pakar perubatan keluarga dan 9 orang pegawai perubatan dengan nisbah untuk merawat 50 orang pesakit bagi seorang doktor.
Sementara itu, menjawab soalan berhubung masalah tempat letak kereta yang terhad di klinik tersebut, jawab Sivanesan, ia tidak dapat dielakkan kerana keluasan tanah di klinik ini adalah kecil.
“Rancangan untuk peluasan tempat letak kereta ini tidak boleh dijalankan kerana klinik ini sedia ada dikelilinggi oleh taman perumahan yang padat.
“Sebagai langkah untuk mengatasi pihak klinik telah mengatur kehadiran temujanji bagi pesakit kronik untuk mengurangkan kesesakan kenderaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











