KUALA LUMPUR 24 Julai – Pemulihan gangguan bekalan air akibat pencemaran minyak diesel di sumber air mentah di Selangor kini mencapai tahap 98 peratus sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., Abdul Raof Ahmad dalam kenyataan di sini hari ini berkata, tiga wilayah iaitu Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor telah pulih sepenuhnya manakala beberapa kawasan di empat lagi wilayah masih dalam proses pemulihan.
“Berdasarkan pemantauan dan perkembangan positif pemulihan bekalan, kami menyasarkan pemulihan sepenuhnya keseluruhan kawasan adalah pada pukul 9 pagi, Jumaat ini.
“Kami sedang meningkatkan usaha bagi mempercepatkan pemulihan keseluruhan kawasan dan kerjasama pelanggan sepanjang tempoh pemulihan dan menggunakan air dengan berhemat serta mengelakkan pembaziran amatlah dihargai.
“Pelanggan boleh melayari laman web www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook Air Selangor dan Twitter @air_selangor untuk maklumat dan status terkini atau menghubungi kami di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 atau 019-280 0919 untuk sebarang bantuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











