Petinju Rusia maut - Utusan Malaysia

Petinju Rusia maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARYLAND – Petinju Rusia, Maxim Dadashev, meninggal dunia pada usia 28 tahun selepas mengalami kecederaan otak ketika tewas kepada Subriel Matias.

Dadashev tewas kepada Matias dalam pusingan ke-11 dalam perebutan tali pinggang kelas Welterweight IBF di Maryland, Jumaat lalu, dengan jurulatihnya, Buddy McGirt, menuntut perlawanan itu supaya dihentikan.

Selepas pertarungan itu, Dadashev dibawa meninggalkan gelanggang dengan pengusung selepas dia muntah ketika menuju ke bilik persalinan dan terpaksa menjalani pembedahan kerana pendarahan otak dan berada dalam keadaan koma.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jurucakap kepada penganjur Dadashev, Top Rank, semalam mengesahkan kepada Omnisport bahawa peninju itu meninggal dunia akibat kecederaan.

“Seluruh ahli keluarga Top Rank meratapi pemergian Maxim Dadashev. Maxim merupakan seorang pejuang berbakat di gelanggang serta seorang suami dan ayah yang baik di luar gelanggang.

“Takziah kepada keluarga dan rakan-rakannya,” menerusi kenyataan organisasi tersebut.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persekutuan Tinju Rusia, Umar Kremlev, mendedahkan bahawa persatuan telah memulakan siasat terhadap keadaan yang menyebabkan kematian peninju itu.

“Saya fikir faktor campur tangan manusia mengundang kepada kematiannya selain terdapat beberapa pelanggaran peraturan,” ujarnya.

Sementara itu, isteri Dadashev, Elizaveta Apushkina, berasa amat sedih dengan pemergian suaminya dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi sokongan.

“Dia adalah seorang yang sangat baik yang berjuang sehingga akhirnya. Anak kami akan terus dibesarkan untuk menjadi seorang yang hebat seperti bapanya.

“Akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang merawat Maxim pada hari-hari terakhirnya. Saya minta semua orang agar menghormati privasi kami dalam tempoh yang sukar ini,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini