LONDON – Akibat berbalah di atas padang, penyerang Argentina, Lionel Messi dikenakan hukuman oleh Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) berikutan terlibat dalam insiden kad merah ketika menentang Chile bagi penentuan tempat ketiga Copa America 2019.
Messi digantung satu perlawanan selepas perbalahannya dengan Gary Medel yang turut dibuang padang ketika kemenangan 2-1 Argentina, awal bulan ini.
Dalam masa sama Messi turut didenda AS$1,500 (RM6,178.78) tanpa boleh dirayu.
Hakim tunggal tribunal tatatertib berkenaan turut mengesahkan hukuman berkenaan adalah penggantungan automatik ke atas Messi dan turut menolak untuk menggenakkan penggantungan tambahan.
Sewaktu kempen Copa Amerika, Messi telah mencetuskan kontroversi apabila menuduh pengadil mengambil rasuah kerana melayangkan kad merah sewaktu insiden berkenaan.
Kenyataan pemain Barcelona itu telah menimbulkan kemarahan CONMEBOL apabila melabel tuduhan berkenaan sebagai tidak berasas. – AGENSI











