Melaka laksana sembilan projek pelancongan bernilai RM765 juta - Utusan Malaysia

Melaka laksana sembilan projek pelancongan bernilai RM765 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 24 Julai – Kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengurusan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bakal menaik taraf sembilan projek pelancongan di negeri ini selepas termeterainya usahasama antara lima agensi dan anak syarikat kerajaan negeri dengan lapan pelabur tempatan, hari ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kesemua sembilan projek naik taraf kemudahan pelancongan di kawasan tumpuan pelancong itu membabitkan nilai pelaburan sebanyak RM765.35 juta.

Menurutnya, jalinan usahasama itu melibatkan PPSPM dan anak syarikatnya, Sungai Melaka Ventures Sdn. Bhd. (SMVSB) selain Menara Taming Sari Berhad, Planetarium Melaka Sdn. Bhd. (PMSB) dan Ayer Keroh Country Club Berhad (AKCC).

Memuatkan artikel berkaitan…

Manakala syarikat pelabur terlibat ialah River Impression Sdn. Bhd., Axtrium Biosis Sdn. Bhd., Newstar Pavilion Sdn. Bhd., Tun Fatimah Riverside Hotel Management Sdn. Bhd., Pilihan Lampiran Sdn. Bhd., Rezhal Enterprise, First Reliance Target Sdn. Bhd. dan NCT Green City Sdn. Bhd.

“Jalinan usahasama dengan tempoh perjanjian antara lima hingga 30 tahun itu dijangka bakal memberi pulangan dalam pelbagai bentuk mengikut projek masing-masing selain menawarkan peluang pekerjaan baharu.

“Ini termasuk tambah nilai kepada produk pelancongan sedia ada di Sungai Melaka, Restoran Melayu Melaka, AKCC, Menara Taming Sari dan Planetarium selain pulangan dalam bentuk ‘in-kind’ dan tunai serta penghasilan cenderamata pelancongan baharu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani kesemua perjanjian itu di Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis; Pegawai Kewangan Negeri, Hanafi Sakri dan Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Azlan Abidin. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini