Latheefa ikuti pertuduhan rasuah enam anggota JPJ - Utusan Malaysia

Latheefa ikuti pertuduhan rasuah enam anggota JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya membuat kejutan apabila hadir pada prosiding pertuduhan terhadap enam kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth di sini hari ini.

Latheefa yang diiringi timbalannya, Datuk Seri Azam Baki yang tiba pukul 9.05 pagi duduk di galeri awam mahkamah sepanjang prosiding selama hampir dua jam itu.

Pertuduhan yang dibacakan secara berasingan ke atas kesemua mereka itu dilakukan di hadapan Hakim Nizam Zakaria berjumlah 63 pertuduhan melibatkan nilai suapan RM73,600.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka yang didakwa ialah Ahmad Tajudin Hussin, 35, yang berdepan dua dua pertuduhan; Najib Mohamad Tarmizi, 32, (empat pertuduhan); Ahmad Daniel Magendran Abdullah, 41, (36 pertuduhan); Hasrol Sani Abu Bakar, 39, (lima pertuduhan); Muhammad Airil Teo Abdullah, 31, (12 pertuduhan) dan Ahmad Alamin Don, 33, (empat pertuduhan.

Kesemua tertuduh merupakan kakitangn Gred 19 hingga 29 di JPJ Pulau Pinang selain Ahmad Alamin kini bertugas di JPJ Perlis dan merupakan anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ketika kesalahan didakwa dilakukan.

Mengikut pertuduhan utama, kesemua mereka didakwa secara rasuah menerima suapan bagi diri mereka daripada Pengarah Syarikat Sam Lian Transport &Tyre Sdn. Bhd. dan TSR Transport Sdn. Bhd. sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lori-lori milik syarikat terbabit (Sam Lian dan Tyre Sdn. Bhd.) yang mungkin melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 akta sama.

Bagi setiap pertuduhan, mereka turut berdepan dengan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu secara berasingan di tiga buah bank di Bukit Mertajam di sini di antara tahun 2015 hingga 2018 lepas.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Selvaranjini, manakala kesemua tertuduh kecuali Ahmad Alamin diwakili peguam Datuk Naran Singh.

Mahkamah membenarkan tertuduh untuk dibebaskan dengan jumlah wang jaminan yang berbeza di antara RM5,000 hingga RM25,000 setiap seorang beserta seorang dan dua penjamin selain pasport perlu diserahkan.

Kes akan disebut semula pada 12 September depan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini