SHAH ALAM 24 Julai – Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan untuk menutup prosiding inkues bagi menentukan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.
Ini sekaligus menyaksikan permohonan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin untuk memanggil seorang pakar patologi lain ditolak.
Bagaimanapun, tarikh keputusan inkues berkenaan akan ditetapkan kemudian oleh Mahkamah Koroner.
Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib yang bermula pada 11 Februari lalu telah memanggil 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dan telah berlangsung selama 41 hari.
Muhammad Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember tahun lalu. – UTUSAN ONLINE











