KLANG – Akibat takut ditangkap, seorang pengurus sebuah syarikat logistik mengalami kerugian RM100,000 apabila diperdaya sindiket Macau Scam, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 45 tahun itu menerima panggilan disyaki Macau Scam menyatakan mempunyai tunggakan cukai syarikat sehingga memiliki kes di mahkamah.
Katanya, mangsa bagaimanapun menafikannya namun telah ditakutkan sindiket itu dengan tangkapan boleh dilakukan terhadapnya.
“Mangsa kemudiannya ditawarkan untuk membersihkan namanya dengan cara menyerahkan butiran akaun kepada sindiket.
“Berikutan bimbang ditangkap mangsa telah menghantar kesemua gambar kad pengeluaran wang automatik (ATM) meneeusi aplikasi WhatsApp kepada sindiket,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jelas Shamsul Amar, mangsa kemudiannya mendapati wang di dalam akaunnya berkurangan sebanyak RM100,000 dan menyedari ditipu sebelum membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE











