PENCAPAIAN mara ke suku akhir pada kejohanan badminton Terbuka Indonesia minggu lalu membakar semangat pemain perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia menjelang pusingan pertama Terbuka Jepun hari ini.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Plaza Sukan Musashino Forest itu, Zii Jia dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua apabila diundi bertemu pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.
Sekiranya layak ke pusingan kedua, pemain yang berada pada ranking ke-16 dunia itu mungkin akan mengulangi aksi suku akhir Terbuka Indonesia apabila dijangka bertemu pemain Denmark, Anders Antonsen.
Meskipun enggan terlalu memikirkan mengenai sasaran pada kejohanan di Tokyo itu, namun Zii Jia tetap memasang hasrat untuk kembali membuat perhitungan dengan Antonsen, seterusnya menebus kekalahan pada Terbuka Indonesia lalu.
“Apa yang pasti saingan kali ini lebih sukar kerana perlu beraksi dalam dua kejohanan berturut-turut selepas Terbuka Indonesia. Saya tidak mahu terlalu memikirkan sasaran kerana apa yang penting adalah lakukan persiapan rapi.
“Jika boleh, saya mahu kembali bertemu Antonsen pada pusingan kedua kerana harapan saya adalah untuk balas dendam terhadap kekalahan di peringkat suku akhir Terbuka Indonesia sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mengulas aksi bertemu Cheuk Yiu hari ini, pemenang pingat gangsa kejohanan remaja dunia 2016 itu percaya dia tidak boleh terlalu yakin memandangkan apa sahaja boleh berlaku sekiranya tidak berikan fokus 100 peratus terhadap perlawanan itu.
“Buat masa ini saya hanya mahu fokus satu demi satu perlawanan dan saya akan berikan sepenuh tumpuan terhadap aksi bertemu Cheuk Yiu dahulu. Selepas pusingan pertama, barulah saya akan fikir untuk aksi seterusnya,” ujarnya.
Sementara itu, harapan untuk menyaksikan seorang lagi perseorangan lelaki negara meneruskan kemaraan pada Terbuka Jepun tidak kesampaian apabila pemain profesional, Liew Daren tersingkir seawal pusingan pertama selepas tewas 20-22, 10-21 kepada wakil Thailand, Sitthikom Thammasin semalam.











