PUTRAJAYA 24 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah memulakan siasatan penyalahgunaan nama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad oleh pihak tidak bertanggungjawab dalam e-mel dan laman sesawang bagi mendapatkan sokongan peribadi serta mempromosikan perniagaan bitcoin.
Menurut SKMM, siasatan akan dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti dalang dan sumber yang mengeluarkan e-mel menggunakan nama Perdana Menteri.
“Kewujudan dan penghantaran apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang palsu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di sini.
SKMM sehubungan itu mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik penipuan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“ Orang ramai juga diminta tampil membuat aduan sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung isu ini bagi membolehkan tindakan susulan diambil,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











