PUTRAJAYA 24 Julai – Malaysia membuktikan keupayaannya dalam industri pelancongan apabila secara konsisten menduduki senarai 10 destinasi utama pelancongan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr. Ismail Bakar berkata, sektor pelancongan dikenal pasti satu daripada penyumbang utama kepada kejayaan ekonomi negara, seiring dengan wawasan diperkenalkan negara 29 tahun lalu.
Beliau berkata, ia juga dinyatakan dalam Tonggak 3 Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) iaitu menuju ke arah pembangunan wilayah yang seimbang.
“Dengan pelancaran logo kempen Melawat Malaysia (TMM) 2020 yang baharu, ia akan menjadi satu daripada mekanisme untuk menarik lebih ramai pelancong.
“Ia secara tidak langsung melonjakkan industri pelancongan domestik dan mewujudkan sejumlah besar peluang pekerjaan untuk rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat dalam laman Facebook beliau semalam.
Perdana Menteri kelmarin melancarkan logo kempen Melawat Malaysia 2020 di KLIA.
Logo berkenaan menampilkan ikon Malaysia yang cukup dikenali seperti burung kenyalang, bunga raya dan paku pakis liar yang diserikan dengan warna-warna bendera Malaysia.
Kempen Melawat Malaysia 2020 menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong dengan RM100 bilion perbelanjaan pelancong. – UTUSAN ONLINE











