JOHOR BAHRU 24 Julai – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menahan seorang jurujual wanita Indonesia kerana menjual produk berasaskan kulit hidupan liar dipercayai ular sawa di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) semalam.
Pengarah Perhilitan negeri, Salman Saaban berkata, wanita berusia 51 tahun itu ditahan pada 4 petang semasa sedang mengendalikan barangan tersebut tanpa sebarang dokumen pemilikan dan penjualan, hasil maklumat orang awam.
“Bertindak atas maklumat, lima orang penguatkuasa Jabatan Perhilitan Johor telah menjalankan pemeriksaan di sebuah tapak jualan di Lot B dan D LTAS.
“Selain penahanan wanita Indonesia itu, kita turut merampas 167 pelbagai produk beg dan dompet disyaki diperbuat daripada kulit ular sawa dengan nilai rampasan dianggarkan RM40,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan memohon perintah tahanan reman ke atas wanita Indonesia itu hari ini dan kesemua barangan yang disita dibawa ke Jabatan Perhilitan Johor untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Seksyen 60 iaitu memburu atau menyimpan atau terbitan atau produk hidupan liar yang dilindungi dan jika disabit kesalahan sabit boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE











