SHAH ALAM 23 Julai – Dua lagi wilayah iaitu Kuala Selangor dan Hulu Selangor yang terjejas akibat pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor telah beroperasi sepenuhnya pada pagi ini.
Kedua-dua wilayah itu masing-masing membabitkan 64,558 dan 12,175 akaun yang terjejas.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata, secara keseluruhannya, status pemulihan bekalan air telah berada pada tahap 96 peratus sehingga pukul 6 pagi tadi.
“Bagi wilayah Kuala Lumpur (117,837) bekalan air telah pulih sebanyak 99 peratus, manakala wilayah Petaling (414,955) pula adalah 96 peratus.
“Sementara, untuk wilayah Klang/Shah Alam (416,996) pula sebanyak 94 peratus bekalan air sudah pulih manakala di Kuala Langat (9,571) pula mencapai 97 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebanyak 1,191,942 akaun di tujuh wilayan iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas ekoran pencemaran minyak diesel di sumber air mentah Sungai Selangor dan Rantau Panjang.
Semalam, sebanyak 155,850 akaun di Wilayah Gombak yang terjejas ekoran pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor telah pulih sepenuhnya.
Tambah Abdul Raof, pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan dan sedang dalam usaha mempercepatkan proses pemulihan bagi semua wilayah.
“Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan bekalan melalui lori-lori tangki air dan pusat khidmat setempat (PKS) di kawasan yang terjejas sehingga bekalan pulih sepenuhnya.
“Orang ramai boleh melayari lawan sesawang www.syabas.com.my, aplikasi telefon bimbit Air Selangor, Facebook Air Selangor dan Twitter @air_selangor untuk maklumat serta status terkini atau terus hubungi kami di talian 15300 atau Whatsapp ke 019-281 6793 / 019-280 0919 untuk sebarang bantuan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











