SEPANG – Kejohanan Powerlifting Para Piala Dunia 2020 di Dubai adalah platform terakhir skuad negara untuk menempah tiket secara merit ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Ketua jurulatih powerlifting negara, Jamil Adam berkata, kejohanan yang berlangsung pada April tahun depan itu memberi peluang sama rata kepada atlet untuk membuktikan kemampuan mereka sekali gus layak disenaraikan dalam kontinjen paralimpik negara ke Tokyo.
“Setakat ini, nama yang disasarkan ialah Jong Yee Khie dan Ma Hussein Mat Noh dan kini Bonie Bunyau Gustin juga telah menunjukkan pretasi yang luar biasa. Bagi Mohd Shahmil Md Saad pula, kita harap dia mampu pulih dengan segera dan kembali menjalani latihan selepas mengalami kecederaan.
“Kita akan cuba untuk melayakkan mereka sekali gus pada Tokyo 2020, walaupun hanya dengan melihat kekuatan mereka pada kejohanan terakhir (di Dubai) itu nanti,” katanya ketika meraikan kepulangan Bonnie di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Jamil berkata, keputusan atlet yang layak secara merit ke temasya Paralimpik akan diketahui pada April tahun depan, terdiri daripada lapan atlet powerlifting lelaki dan enam atlet wanita terbaik akan disenaraikan.
Mengulas mengenai kejayaan Bonnie, Jamil mengakui tidak begitu bimbang dengan prestasi atlet itu memandangkan dia masih muda dan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi.
“Kejayaan Bonnie meraih dua pingat memang luar biasa terutama apabila dia berjaya menewakan dua juara dunia. Saya yakin dengan komitmen dan disiplin yang ditunjukkan Bonnie, dia mampu mencapai sasaran angkatan 210 kilogram nanti.
“Untuk latihan, kita akan mantapkan jenis latihan yang akan dilaluinya, termasuklah fisioterapi yang akan dibantu oleh Majlis Sukan Negara( MSN),” katanya.
Bonnie melakar sejarah apabila meraih dua pingat emas pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Nur-Sultan, Kazakhstan minggu lepas.
Pada saingan di Astana Congress Center itu, atlet berusia 19 tahun tersebut cemerlang apabila berjaya mengetepikan nama-nama besar termasuk dua pemenang pingat emas Sukan Olimpik. – BERNAMA











