Atlet pekak perlu lebih banyak pendedahan luar - Utusan Malaysia

Atlet pekak perlu lebih banyak pendedahan luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG – Jurulatih skuad badminton pekak wanita negara, Sabrina Chong berharap skuad kendaliannya dapat menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa bagi meningkatkan tahap keyakinan atlet negara.

Beliau berkata, hanya dua kejohanan yang dianjurkan pada tahun ini iaitu edisi kelima Kejohanan Badminton Orang Pekak Dunia di Taiwan yang berakhir Ahad lepas, selain temasya Sukan Orang Pekak Asia Pasifik di Hong Kong pada November nanti.

“Secara fizikal (kecergasan), memang mereka cukup bersedia dan ini dibuktikan apabila beregu kita berjaya memberi saingan sengit kepada beregu dari Jepun di Taiwan, baru-baru ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cuma mereka kekurangan dari segi keyakinan diri (mental) dan saya percaya ini dapat diatasi dengan menyertai lebih banyak kejohanan terutama di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita setibanya di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Taiwan, hari ini.

Mengulas lanjut, Sabrina mendakwa tiada sebarang kejohanan pendedahan disertai atlet negara, Boon Wei Ying sebelum menyertai kejohanan dunia di Taiwan, baru-baru ini.

“Hanya berbekalkan latihan semata-mata dan pengalaman sebagai pemain beregu. Apa yang saya lakukan, hanya naikkan semangatnya dan minta dia berjuang sebaik mungkin.

“Tahap keyakinannya melonjak apabila berjaya mara dari satu pusingan ke pusingan yang lain hinggalah berjaya meraih gangsa,” jelas Sabrina yang mula melatih Wei Ying sejak Mei lepas.

Mengulas mengenai masa depan Wei Ying, Sabrina yakin pemain berusia 24 tahun itu mampu pergi lebih jauh berdasarkan prestasi cemerlang yang ditampilkan pemain tersebut yang meraih pingat gangsa dalam acara perseorangan wanita pada kejohanan di Taiwan itu.

Dalam pada itu, Wei Ying berharap kejayaan di Taiwan menjadi pemangkin semangat untuk dirinya meraih keputusan lebih baik pada aksi di Hong Kong nanti, sambil memaklumkan akan menyertai acara perseorangan dan beregu wanita.

Atlet itu meraih pingat gangsa pada kejohanan di Taiwan setelah kalah 20-22, 16-21 kepada pemenang pingat emas, Yan-Ru Shen dari Taiwan dalam separuh akhir. Untuk rekod, Wei Ying pernah meraih pingat perak acara beregu campuran pada temasya sukan orang pekak, Deaflympics 2017 di Samsun, Turki. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini