SERDANG – Ujian dari segi mental dianggap menjadi cabaran terbesar yang bakal dihadapi atlet negara apabila menyertai temasya Sukan SEA 2019 penghujung tahun ini.
Timbalan Ketua Kontinjen CDM), Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, ini kerana venue yang terbahagi daripada tiga kluster atau lokasi berbeza menjanjikan kesukaran untuk atlet menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling, tempat penginapan dan makanan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua atlet negara membuat persiapan mental secukupnya supaya segala kepayahan dapat diatasi secara positif.
“Hasil daripada taklimat kepada ketua-ketua kontinjen oleh pihak penganjur baru-baru ini, nasihat kami kepada atlet ialah mental kena kuat sepanjang berada di sana.
“Walaupun, penganjur sedang berusaha sebaik mungkin untuk melancarkan perjalanan temasya, venue yang terletak di tiga kluster berbeza bakal menguji kekuatan mental atlet.
“Bagi pihak kontinjen negara, kami juga sedang menyusun cara terbaik untuk memudahkan atlet menghadapi keadaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat persiapan skuad ragbi 7-sebelah dan bola jaring Sukan SEA negara bersama seorang lagi timbalan CDM, Nurulhuda Abdullah di Universiti Putra Malaysia, hari ini.
Antara langkah yang dicadang diambil adalah mewujudkan tiga urusetia berbeza supaya komunikasi dapat dilakukan dengan baik.
“Urusetia ini akan ditempatkan di setiap tiga kluster dan mereka akan bertugas membantu atlet dalam apa jua masalah yang dihadapi,” tegasnya.
Sukan SEA 2019 dijadual berlangsung di Filipina dari 30 November hingga 11 Disember ini dengan mempertandingkan 57 jenis sukan. – UTUSAN ONLINE











