Perak berdepan laluan sukar - Utusan Malaysia

Perak berdepan laluan sukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Juara bertahan Piala Malaysia, Perak dijangka berdepan laluan sukar dalam misi mempertahankan trofi kejohanan paling tertua di Asia Tenggara itu selepas diundi bersama Pahang, Pulau Pinang dan juara baharu Liga Perdana, Sabah dalam Kumpulan C.

Atas kertas, Perak diramalkan tidak berdepan masalah untuk melepasi saingan awal bersama naib juara Liga Super, Pahang, namun, jurulatih The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic tidak mahu memandang mudah cabaran daripada dua wakil Liga Perdana yang dianggap memiliki kualiti setanding dengan pasukan Liga Super.

Jelas Durakovic yang pernah melakar sejarah Piala Malaysia apabila menjadi pemain import pertama membantu pasukannya menjuarai Piala Malaysia tiga kali berturut-turut bermula tahun 1995 ketika bersama Selangor, beliau tidak mahu pemainnya dibuai kejayaan manis menundukkan Terengganu di pentas final, musim lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya Durakovic menuntut komitmen tinggi daripada anak buahnya kerana beliau menyedari perjalanan Perak lebih sukar berbanding tahun lalu memandangkan 15 lagi pasukan pencabar turut memasang impian mahu bergelar juara Piala Malaysia, musim ini.

Sebagai rekod, Perak memenangi Piala Malaysia, tahun lalu dengan penuh dramatik apabila menewaskan Terengganu 4-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 3-3 dalam tempoh 120 minit di Stadium Shah Alam.

“Tidak mudah untuk mengatakan Perak akan menjuarai Piala Malaysia sama seperti, musim lalu kerana kami perlu sedar cabaran mempertahankan kejuaraan lebih sukar berbanding merebut kejuaraan.

“Namun, ia bukan alasan buat Perak untuk tidak memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus kerana kami juga memiliki misi sama seperti 16 pasukan lain iaitu mahu menjadi juara.

“Bercakap mengenai undian kali ini, saya menganggap Perak berada dalam kumpulan agak sukar kerana semua mengetahui kualiti Pahang, Pulau Pinang dan Sabah. Sabah baru sahaja menjadi juara Liga Perdana, manakala Pulau Pinang mungkin setanding pasukan Liga Super,” katanya yang sedang mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Kedah pada final Piala FA, Sabtu ini.

Sementara itu, juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) diundi bersama PJ City FC, PKNP FC dan UiTM FC dalam Kumpulan B. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini