Konsolidasi saham Syed Mokhtar di dalam Utusan - Utusan Malaysia

Konsolidasi saham Syed Mokhtar di dalam Utusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – Tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary melakukan konsolidasi pegangan ekuitinya di dalam Kumpulan Utusan dengan pembelian 5.5 juta saham, menjadikannya pemegang saham kedua terbesar iaitu 19.72 peratus.

Kumpulan Utusan dalam pengumumannya di Bursa Malaysia hari ini, memberitahu transaksi tersebut dilakukan menerusi syarikat Nilam Setar (M) Sdn. Bhd. pada 19 Julai lalu.

Sebelum ini, Nilam Setar menguasai 16.3 juta saham atau 14.7 peratus. Syarikat itu mengambil alih keseluruhan saham pegangan Aspirasi Sigma sebanyak 3.5 juta saham dan Fasa Mahsuri sebanyak 2 juta saham.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiada nilai transaksi diumumkan tetapi dipercayai pada harga biasa 10 sen sesaham kerana kedua-dua syarikat yang dibeli ekuiti itu juga dikuasai Syed Mokhtar.

Pembelian ini meletakkan Nilam Setar di kedudukan kedua pemegang saham terbesar Utusan, de­ngan teratas dimiliki Opulance Global Asia Sdn. Bhd. milik Datuk abd. Aziz Sheikh Fadzir (31.6 peratus) dan ketiga, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (18.1 peratus).

Awal bulan ini, Syed Mokhtar menerusi Aurora Mulia Sdn. Bhd. telah mengambil alih 123.02 juta saham atau 11.09 peratus kepentingan dalam kumpulan media terbesar negara, Media Prima Berhad daripada Gabungan Kesturi Sdn. Bhd.

Pembelian saham itu menjadikan Syed Mokhtar sebagai pemegang saham ketiga terbesar dalam Media Prima setakat ini.

Transaksi pembelian dibuat secara terus pada 2 Julai pada harga 60 sen sesaham atau premium sebanyak 23.71 pe­ratus berbanding penutupan 48.5 sen pada Isnin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini