JAKARTA 23 Julai – Pejabat Pendakwaraya Tinggi Sumatera Utara mengesan berlakunya amalan penipuan dan manipulasi melibatkan 40 hospital swasta Indonesia yang dilaporkan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.
Lapor Tribunnews, pasukan perisikan pendakwaraya terbabit mendapati wujud aktiviti penyelewengan dana yang disalurkan oleh Badan Penyelenggara Jaminan Sosial Kesihatan (BPJS) Kesihatan kepada hospital-hospital berkenaan sejak 2014.
Penyelewengan tersebut mengakibatkan kerugian mencecah 5 bilion rupiah (RM1.4 juta) bagi setiap hospital terlibat.
Penolong risikan pasukan terbabit, Leo Simanjuntak memberitahu, siasatan dilakukan pihaknya mengenalpasti sebuah hospital yang terkait dengan jenayah tersebut pada tahun ini,
“Pihak perisikan berjaya mengesan penyelewengan dana BPJS Kesihatan oleh sebuah hospital yang terletak di Medan.
“Kes itu telah diserahkan kepada bahagian siasatan jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya.
Leo menambah, selain hospital itu, pihaknya turut mengenalpasti 40 hospital dan klinik yang berpotensi terlibat dalam kegiatan sama.
“Secara keseluruhan, anggaran keseluruhan kerugian BPJS dilaporkan berjumlah 200 bilion rupiah (RM58.9 juta) untuk wilayah Sumatera Utara sahaja,” katanya.
Sementara itu Leo mendedahkan, hospital-hospital terlibat dikenalpasti melakukan penyelewengan dengan memanipulasi kos rawatan dan ubat-ubatan pesakit. – AGENSI











