KUALA LUMPUR 23 Julai – Pendaftaran bagi mengikuti Seminar Pasaran Modal Utusan pada Ahad ini, 28 Julai masih dibuka bagi mereka yang berminat khususnya yang pernah menyertai Simposium Saham Utusan Malaysia sebelum ini.
Kolumnis Cikgu Saham di Utusan Malaysia, Zuraida Mohd. Zakaria berkata, orang ramai perlu memanfaatkan seminar satu hari ini berikutan ia merupakan kesinambungan kepada penganjuran sebelum ini.
Katanya, seminar kali ini juga terbuka bagi mereka yang sebelum ini hanya mempelajari pasaran modal secara bersendirian dan tidak memiliki pengalaman belajar atau bermain saham secara formal.
“Di sini kita akan ajar cara-cara bermain saham dengan betul. Kami mahukan semua orang celik saham dan ini sekali gus mengelak orang ramai ditipu daripada terjebak dengan pelbagai skim pelaburan saham yang tidak diiktiraf,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zuraida berkata, seminar satu hari yang bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang itu menampilkan tiga ahli panel bagi tiga sesi yang dijalankan iaitu Y.J Foo dan Dr. Nuradli Ridzwan Shah.
“Antara topik yang akan dipelajari pada seminar itu termasuklah perkara-perkara selain daripada analisis teknikal dan fundamental yang perlu diketahui sebelum membeli saham yang akan disampaikan oleh saya sendiri.
“Selain itu, Foo pula akan memperkenalkan topik penggunaan perisian carta untuk mempermudahkan kajian saham manakala Nuradli akan membentangkan topik kepentingan ilmu analisis teknikal dan fundamental dalam kajian saham,” katanya.
Menurut Zuraida, mereka yang berminat untuk mengikuti Seminar Pasaran Modal Utusan boleh menghubungi talian 010-8360826 atau 013-310 8156 untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan yuran penyertaan.
Zuraida atau lebih dikenali sebagai Cikgu Saham merupakan nama yang tidak asing dalam kalangan warga saham media sosial dan beliau juga merupakan panel di segmen Monink Blues, Utusan Online pada setiap dua minggu membicarakan tentang pelaburan saham.











