KUALA LUMPUR 23 Julai – Agensi kualiti dan penyelidikan industri utama negara, Sirim Bhd. (Sirim) komited menyokong kelestarian alam sekitar dengan menawarkan teknologi pelupusan sisa makanan melalui sistem pencernaan anaerobik.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sirim, Prof Ir. Dr. Ahmad Fadzil Mohamad Hani berkata, sistem itu mampu menjana biogas daripada sisa makanan yang dirawat dan seterusnya ditukar kepada tenaga elektrik untuk kegunaan setempat.
“Sistem berkenaan kini diguna pakai di beberapa pusat peniaga makanan antaranya di USJ, Subang, Port Dickson di Negeri Sembilan dan Sepang, Selangor.
“Perkhidmatan lain yang dilaksanakan Sirim termasuklah pensijilan pelabelan eko dan teknologi pembungkusan Green-Blue yang menawarkan pembungkusan mesra alam dan terbiodegradasikan,” katanya dalam kenyataan sempena program Bersihkan Pantai Kita di Perak, Sabtu lalu.
Yang turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Perak, Zaki Mokri.
Program itu melibatkan 130 sukarelawan terdiri daripada warga kerja Sirim dan masyarakat setempat menyertai program berkenaan yang diadakan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pasir Panjang, Segari, Perak.
Tujuan program tersebut adalah untuk membantu pemuliharaan pantai khususnya lokasi yang dijadikan kawasan pendaratan penyu untuk bertelur.
Menurut Ahmad Fadzil, program itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat untuk membersihkan pantai memandangkan ia dicemari sampah sarap terutama berasaskan plastik.
“Program ini disertai anggota kerja Sirim dari Ibu pejabat di Shah Alam serta pejabat cawangan Perak juga dibantu oleh anggota keluarga mereka, kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Perak dan komuniti nelayan di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.
Ujarnya, objektif utama program berkenaan untuk menyemai semangat kerjasama bergotong-royong membersihkan kawasan pantai, di samping meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup sihat selain membawa nilai murni sayangkan alam sekitar kepada masyarakat.











