Mayat dalam beg di Bau sah tukang jahit - Utusan Malaysia

Mayat dalam beg di Bau sah tukang jahit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 23 Julai – Polis mengesahkan mayat yang ditemukan di dalam bagasi di sungai Kampung Pangkalan Bau, Sarawak pada Jumaat lalu merupakan mayat tukang jahit, Wong Sie Tuang, yang sebelum ini dilaporkan hilang oleh keluarganya sejak beberapa hari lepas.

Portal berita Utusan Borneo melaporkan, perkara tersebut disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisoner Denis Leong Soon Kuai menerusi satu kenyataan hari ini.

“Ya. Mangsa adalah seorang tukang jahit,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan mangsa yang juga dikenali sebagai John Wong merupakan pemilik sebuah kedai menjahit pakaian terkemuka di pusat bandaraya.

Dia dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi oleh keluarganya sehingga penemuan mayat mangsa yang diikat menggunakan pita pelekat di dalam sebuah bagasi.

Persoalan identiti mayat tersebut yang hampir reput mula terjawab susulan penyebaran berita mengenai kehilangan mangsa melalui media sosial.

Selain itu, isteri mangsa juga dilihat berada di bangunan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) sebaik sahaja mayat mangsa dibawa untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintenden, Poge Nyaon terdahulu dalam satu kenyataan pada 20 Julai lalu memberitahu ahli keluarga mangsa telah membuat pengesahan selepas proses pengecaman dilakukan.

“Mayat dicam oleh ahli keluarga mangsa melalui baju, seluar, tali pinggang, kasut, stokin dan seluar dalam di Jabatan Forensik HUS,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini