Membugar patriotisme belia - Utusan Malaysia

Membugar patriotisme belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMAT Hari Lahir Majlis Belia Malaysia yang ke-71 tahun semalam, 23 Julai 2019. Satu daripada nilai-nilai yang telah menolong negara maju dahulu tetapi sudah dianggap usang sekarang ialah patriotisme.

Di waktu negara-negara barat sedang membangun dengan pesat dahulu, mereka memuja patriotisme. Anak-anak muda mereka dipupuk dengan semangat patriotisme sehingga mereka rela mengorbankan harta dan nyawa untuk negara mereka.

Mereka bekerja kuat dan mereka sanggup dihantar ke tanah jajahan yang jauh dari tanah air mereka untuk mempertahankan bendera negara. Ramai daripada mereka ini terbunuh dalam peperangan atau kerana penyakit. Kubur mereka terdapat di mana sahaja. Kubur mereka menjadi bukti kegigihan semangat patriotisme mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zaman beredar dan sekarang ini mereka kecewa kerana kehilangan empayar mereka. Patriotisme sudah tidak diperlukan lagi dan mereka memburuk-buruk dan mempermainkan semangat ini dan ramailah pula daripada kita turut menerima nilai mereka ini. Kita harus memikir sendiri mengenai patriotisme ini.

Satu perkara yang menekan sekarang ialah pengangguran di kalangan belia. Untuk mengatasi masalah ini kita perlu meningkatkan proses industrialisasi kerana hanya kilang-kilang pembuatan boleh menyediakan peluang-peluang kerja dengan banyak.

Kilang pembuatan memerlukan pelaburan yang banyak dan teknologi yang mo­den. Tidak ramai daripada para pelabur dalam negeri yang memiliki modal dan teknologi untuk me­ngadakan kilang-kilang besar dan moden. Oleh itu, pelaburan asing amatlah penting untuk menyediakan peluang-peluang pekerjaan.

Untuk menarik pelaburan asing, kerajaan telah menyediakan ba­nyak insentif. Tetapi insentif yang terbesar sekali ialah kestabilan negara dan kesanggupan rakyat Malaysia untuk bekerja kuat dan menjayakan perusahaan berkenaan. Sebarang kegiatan yang memberi gambaran bahawa Malaysia tidak stabil merupakan penghalang kepada usaha mengatasi masalah pengangguran.

Menjadi harapan agar para belia sendiri dan lain-lain pihak tidak membuat apa-apa yang boleh memburukkan imej negara sebagai tempat yang paling sesuai untuk pelaburan. Perbuatan demikian akan menganiaya belia yang masih menganggur walau apapun kelulusan mereka.

Zaman muda tidaklah lama jangka masanya. Kemudian kita akan beralih ke zaman tua. Oleh yang demikian rebutlah lima kesempatan sebelum kesempitan, iaitu: sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.

Saya yakin belia berilmu akan menjayakan negara. Marilah kita semua berusaha sedaya upaya memperjuang dan mempertahankan masa depan bangsa, agama dan negara kita.

Selamat Hari Lahir Ke-71 buat Majlis Belia Malaysia. Belia bertindak untuk kebenaran dan keadilan, menggerak belia!

PENULIS ialah Tokoh Belia Negara 2011 dan Tokoh Belia ASEAN 2011

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini