Cinta ‘anak emak’ - Utusan Malaysia

Cinta ‘anak emak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada sesetengah wanita bimbang jika bakal suami mereka dalam kategori ‘anak emak’ yang didakwa boleh menganggu hubungan rumah tangga yang bakal dibina kelak.

Namun, tidak bagi pelakon Ruhainies yang mengaku berasa bertuah bakal berkahwin dengan kekasihnya yang dikenali sebagai E.Johan yang juga ‘anak emak’.

Baginya, itu bukan halangan untuk pasangan hidup bahagia.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya antara sebab mama dan ayah saya sukakan E.Johan kerana sikapnya yang pandai menghormati orang tua dan sangat menyayangi ibunya.

“Malah, dia juga sangat sayangkan mama saya.

“Saya rasa tiada masalah bercinta dengan `anak emak’ asalkan dia berusaha untuk seimbangkan kasih sayang dan bijak mengawal apa-apa jua situasi yang bakal berlaku.

Rapat

“Saya tahu dia sangat rapat dengan ibunya. Antara mereka memang tiada rahsia. Saya yakin dia tahu tanggungjawab dan peranannya apabila menjadi suami nanti. Ketika itu, dia juga perlu memikirkan kepentingan isteri tanpa mengabaikan ibu,” kata Ruhainies dengan yakin.

Malah, sepanjang hampir dua tahun Ruhainies dan cinta hatinya memadu kasih, setiap kali E.Johan yang bekerja di luar negara kembali ke Malaysia, dia akan memastikan lelaki tersebut menghabiskan lebih banyak masa bersama ibunya.

“Kadang-kadang apabila ada masa, saya juga keluar bersama bakal mertua.

“Bila sudah jadi suami isteri nanti memang bagus kalau suami sangat sayangkan isteri tapi kena pesan kepada suami agar jalankan tanggungjawabnya sebagai anak,” kata Ruhainies atau nama sebenarnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 27.

Mengakui seronok menyulam cinta jarak jauh, bagi pelakon ini, hubungan tersebut tidak menjadi beban kepada mereka berdua lantaran kepercayaan yang diberi antara satu sama lain menjangkau tinggi.

“Mungkin bagi orang lain cinta jarak jauh menyusah dan membebankan. Lain pula kami yang semakin hari semakin sayang.

“Bila bercinta jarak jauh kami selalu ingatkan sesama sendiri agar saling percaya. Apa yang penting kena selalu berhubung agar tidak berlaku masalah komunikasi. Dia pun sekarang selalu balik Malaysia, sebulan sekali,” katanya yang berharap mereka sentiasa bersabar dengan dugaan yang menguji.

Antara perkara yang dibimbangkan adalah gangguan orang ketiga dalam hubungan mereka.

“Saya akui risau kalau ada yang berniat untuk merampas kekasih saya.

Sebab itu saya tidak terlalu terbuka atau mendedahkan si dia.

“Saya juga seperti wanita lain tentu risau dan cemburu kalau kekasih diganggu.

“Lagipun tidak semua orang sukakan kita. Saya tak kisah dan sentiasa menjadi diri sendiri. Terpulanglah orang mahu suka atau tidak,” ujarnya lagi yang ditemui pada majlis Ruhainies Special Day sempena ulang tahunnya yang ke-27 di Panggung Asia, Gombak, baru-baru ini.

Mengenai kerjaya, Ruhainies mengelak komitmen yang mengambil tempoh masa panjang kerana mahu fokus pada persiapan perkahwinan kakaknya, pelakon Risteena dengan usahawan muda, Ikhwan Khairuddin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini