Rasuah lori kebal, 18 lagi anggota JPJ didakwa esok - Utusan Malaysia

Rasuah lori kebal, 18 lagi anggota JPJ didakwa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 23 Julai – Seramai 18 lagi pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri akan didakwa di Mahkamah Butterworth di sini secara berperingkat bermula esok selama tiga hari bersabit kes rasuah lori kebal.

Mereka merupakan sebahagian daripada lebih 70 pegawai penguat kuasa jabatan itu dan beberapa pihak lain yang ditahan SPRM berhubung kes tersebut yang dibongkar awal April lalu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata, kesemua mereka terdiri daripada pegawai dan penguat kuasa Gred 19 hingga 29.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka akan didakwa di Mahkamah Butterworth esok secara berperingkat dengan kemungkinan enam orang dahulu dan disusuli dengan 12 lagi pada hari berikutnya.

“Buat waktu ini, itu sahaja yang boleh saya dedahkan. Sama ada akan ada lagi tangkapan atau sebaliknya, kita tidak boleh dedahkan kerana tidak mahu mengganggu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kes rasuah itu terbongkar awal April lalu dan menjadi perhatian ramai selepas lebih 70 individu yang sebahagian besarnya penguat kuasa JPJ ditahan SPRM kerana dikatakan melindungi syarikat lori yang melakukan kesalahan jalan raya.

Setiap anggota JPJ terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 hingga RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan untuk melindungi pemandu lori lebih muatan dengan tidak mengambil tindakan.

Wang yang diterima tersebut dipercayai untuk pegawai kanan JPJ bagi tujuan hiburan.

Difahamkan, modus operandi yang digunakan adalah membekalkan pelekat khas kepada lori yang dilindungi agar senang dikenal pasti.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini