[VIDEO] Intim bukan untuk tontonan - Utusan Malaysia

[VIDEO] Intim bukan untuk tontonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMUAT naik gambar kemesraan atau intim bersama suami dan isteri dalam media sosial seakan menjadi trend di negara ini. Mereka umpama tidak malu untuk memaparkan aksi bermesra termasuk bercium dengan alasan perbuatan tersebut dilakukan dengan pasangan yang halal.

Namun, tanpa sedar biarpun bergelar suami atau isteri, ia bukan lesen untuk mereka beraksi terlampau mesra di khalayak ramai termasuk memaparkannya dalam media sosial yang kemudian ditonton oleh seluruh masyarakat termasuk anak-anak mereka sendiri.

Menurut pendakwah bebas, Muhammad ‘Asri Hijrah Damni atau lebih dikenali sebagai Dai Hijrah, biarpun halal, perbuatan itu dilarang dalam Islam kerana keintiman antara suami isteri seharusnya dilakukan di tempat sesuai, bukannya untuk paparan umum.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, keterbukaan pemikiran masyarakat sekarang khususnya golongan muda membuatkan mereka terikut-ikut budaya Barat yang bukan sahaja melanggar hukum agama, malah turut merosakkan nilai-nilai adab ketimuran.

“Islam tidak melarang kita bermesra dengan isteri bagi menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing. Tiada juga halangan untuk bergambar sama ada berpelukan atau dengan gaya mesra melampaupun tiada masalah.

“Cuma, jangan dipaparkan kepada umum atau dimuat naik gambar tersebut dalam media sosial kerana mengikut Islam ada adab, setiap perbuatan dan kata-kata yang dilakukan perlu di tempat yang bersesuaian.

“Malah, akhlak seseorang dalam Islam juga tidak diizinkan bercium di tempat awam. Jika ingin bermesra ada tempat privasi dan ia tidak perlu dipertontonkan kepada umum,” jelasnya.

Dai Hijrah berkata, perbuatan memuat naik gambar keintiman tersebut dalam media sosial secara tidak langsung menjatuhkan maruah diri tidak kira bagi suami mahupun isteri.

Katanya, pasangan yang gemar berbuat demikian perlu faham bahawa bercumbuan atau bercium adalah permulaan kepada jimak. Jadi, perbuatan itu perlu disembunyikan daripada pandangan khalayak umum.

“Cuba anda lihat, sedangkan membaca al-Quran juga terdapat hukumnya. Contohnya, membaca surah al-Fatihah ketika solat adalah wajib manakala membaca al-Quran di rumah hukumnya sunat, tetapi ia jatuh haram jika dibaca di tempat yang salah seperti tandas.

“Begitu juga dengan isu bermesraan dengan isteri. Jika dilakukan dalam bilik tentunya tiada masalah sebab perbuatan itu halal, tetapi jika dilakukan di luar atau dipaparkan kepada umum maka ia menjadi haram,” katanya.

Kata Dai Hijrah, sebaiknya perbuatan tersebut dielakkan bagi menghindarkan wujudkan fitnah dan mendatangkan tohmahan orang lain kepada diri kita.

Jelasnya, dalam Islam juga disarankan agar umatnya menjaga dan memelihara beberapa perkara iaitu agama, nyawa, kewarasan akal, maruah dan keturunan serta melindungi harta benda.

Tambah Dai Hijrah, perbuatan yang dikatakan hanya untuk suka-suka itu turut memberi kesan kepada institusi rumah tangga apabila timbul dengki pada yang melihat sehingga terjadinya perkara yang tidak diingini seperti disihir.

“Akhirnya kemesraan dan kasih sayang yang ditonjolkan itu tidak kekal lama, sebaliknya perkara kecilpun akan mendorong kepada pergaduhan besar,” jelasnya.

>> Lihat muka 24

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini