IPOH 23 Julai – Pembangkang menyifatkan perjalanan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 hari ini sebagai yang paling buruk selain menunjukkan kedangkalan Yang Dipertua Dewan (Speaker) DUN, Datuk Ngeh Koo Ham.
Ini berikutan tindakan Koo Ham yang mengusulkan pindaan terhadap usul pengisytiharan harta melibatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sepatutnya dibuat oleh ADUN Pasir Bedamar, Terrance Naidu selaku pencadang.
Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad menegaskan, secara prinsipnya Koo Ham tidak sepatutnya berbuat demikian sekali gus menunjukkan beliau tidak mengikut Perintah Tetap Dewan.
“Sepatutnya jika ada pindaan, maka pencadang akan mengemukakan usul bukan Speaker, maknanya pada awal lagi pelaksanaan usul ini tidak betul.
“Selain itu, usul yang dicadang patut dibahaskan diikuti penggulungan oleh ADUN Pasir Bedamar dengan beberapa cadangan. Malah, kaedah pengundian yang dibuat juga tidak betul,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Sidang DUN Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Kata Saraani, tindakan Koo Ham ini telah memberi pandangan salah kepada masyarakat disebabkan tindakan beliau yang dangkal.
Mengulas tentang usul tersebut, jelas Saraani, pembangkang tidak menolak untuk mengisytiharkan harta bagi mengelak berlaku salah guna kuasa dan unsur rasuah cuma perlu dilakukan mengikut tatacara betul.
“Kita setuju isytihar harta hanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengikut undang-undang sedia ada.
“Ini kerana kita bimbang apa jaminan Speaker tidak akan guna maklumat ini dalam ceramah politiknya nanti. Apa yang kita tidak setuju ialah kenapa beri kuasa pada Speaker?” soalnya lagi.
Tegas Saarani, pakatan pembangkang tidak mahu tindakan kerajaan negeri ini akan dilihat sebagai ‘bodoh’ kerana meluluskan usul tanpa mengikut peraturan. – UTUSAN ONLINE











