KUALA LUMPUR 23 Julai – Malaysia menerusi Kementerian Pendidikan dipilih sebagai Presiden Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) bagi tempoh 2019 hingga 2021 dan Pengerusi Majlis Persidangan SEAMEO kali ke-50.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, pihak kementerian amat menghargai penghargaan dan sokongan padu negara-negara ahli SEAMEO terhadap kepemimpinan negara khususnya dalam memacu perkembangan bidang pendidikan di rantau Asia Tenggara.
“Kita turut mengambil kesempatan untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Prof. Dr. Muhadjir Effendy atas kejayaan menerajui SEAMEO bagi tempoh dua tahun sebelum ini.
“Tahniah juga diucapkan kepada Menteri Pendidikan Singapura, Ong Ye Kung kerana dipilih sebagai Naib Presiden SEAMEO dan Naib Pengerusi Majlis Persidangan SEAMEO kali ke-50. Saya berharap Malaysia dan Singapura akan berusaha bersama-sama membentuk kesepakatan jitu demi manfaat pendidikan di rantau yang kita cintai ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Maszlee berharap, melalui sokongan kuat negara ahli yang lain akan memastikan SEAMEO terus konsisten melaksanakan pelbagai inisiatif ke arah kesepaduan sosial melalui pendidikan demi kemakmuran Asia Tenggara. -UTUSAN ONLINE











