Allahyarham Ismail ligat isi tabung wujudkan pusat tahfiz - Utusan Malaysia

Allahyarham Ismail ligat isi tabung wujudkan pusat tahfiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 23 Julai – Imam Tua Masjid Mukim Telaga Papan, Ismail Yaacob, 67, yang meninggal dunia di Mekah petang semalam merupakan seorang tokoh agama yang aktif membangunkan syiar Islam di negeri ini.

Kadi Jajahan Pasir Puteh, Mohd. Fadli Sulaiman berkata, arwah dilantik sebagai imam masjid itu sejak awal 1990 merupakan aktivis masyarakat yang aktif membantu anak mukim dalam pelbagai perkara termasuk pendidikan.

Malah katanya, ketika berada di Mekah, Allahyarham Ismail masih sempat meluangkan masa mengumpul sumbangan jemaah haji bagi mengisi tabung pusat pengajian tahfiz di kampung.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jasa beliau yang sangat besar ialah berusaha menubuhkan sebuah pusat pengajian tahfiz di Kampung Telaga Papan.

“Sehinggakan dua hari sebelum kematiannya beliau masih meminta nombor akaun tahfiz dan masjid untuk dikongsikan kepada jemaah haji yang mahu menderma kepada tabung kami itu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, Ismail yang digelar Imam Jubah atau Pok Wil turut aktif memperjuangkan nasib golongan asnaf untuk memiliki rumah yang selesa menerusi pelbagai saluran yang ada.

“Namanya sangat terkenal di kawasan Semerak dan arwah sering menyampaikan kuliah agama di serata tempat termasuk di sekolah-sekolah sekitar daerah ini.

Allahyarham Ismail Yaacob meninggal dunia pukul 1 petang semalam akibat serangan jantung. Jenazahnya disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan di Perkuburan Arafah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini