KOTA BHARU 23 Julai – Projek pembinaan Kompleks Mahkamah Kota Bharu di Bandar Baru Tunjong, di sini, perlu menjadi contoh dan tanda aras kepada projek-projek kerajaan yang lain apabila berjaya disiapkan mendahului jadual asal 322 hari lebih awal.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hanipa Maidin berkata, kompleks diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM106.42 juta itu disifatkan sebagai projek kerajaan Persekutuan terbaik dan paling efisien setakat ini.
“Ini kerana projek ini menerima Sijil Siap Bina atau CPC (Certificate of Practical Completion) pada 15 Mei 2019, iaitu lebih awal setahun daripada tarikh siap asal yang disasarkan iaitu April 2020.
“Saya harap projek ini dapat menjadi penanda aras kepada projek-projek lain kerajaan Persekutuan untuk siap lebih awal daripada jadual namun memastikan kualiti terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Projek Kompleks Mahkamah Kota Bharu, di sini hari ini yang turut disaksikan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Tengku Maimun Tuan Mat.
Penyerahan itu melibatkan tiga pihak iaitu daripada pemaju, Cakna Enterprise kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan seterusnya kepada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP).
Cakna Enterprise diwakili Pengarah Urusannya, Syed Akmal Syed Yusuf, manakala JKR diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Meor Aziz Osman.
Sementara itu, BHEUU dan PKPMP pula masing-masing diwakili Timbalan Ketua Pengarah, Datuk Rohaizi Bahari dan Ketua Pendaftar Mahkamah, Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh.
Kompleks Mahkamah Kota Bharu setinggi empat tingkat dibina di atas tapak seluas 2.7 hektar dan mempunyai 13 bilik bicara terdiri daripada tiga Mahkamah Tinggi, lima Mahkamah Sesyen serta lima Mahkamah Majistret.
Menurut Hanipa, kompleks baharu itu dibina bagi menggantikan bangunan lama di pusat bandar yang usang dengan keluasan terhad sehingga tiada ruang untuk kerja-kerja penambahan kemudahan.
“Saya pernah ke kompleks lama yang memang padat dan kurang tempat letak kereta sedangkan kita perlu ruang yang luas untuk keselesaan hakim, kakitangan dan orang ramai. Jadi kerajaan fikir sudah sampai masa kita perlu bina mahkamah baharu di Kota Bharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











