Pembangkang pertikai Speaker DUN semak borang isytihar harta - Utusan Malaysia

Pembangkang pertikai Speaker DUN semak borang isytihar harta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 23 Julai – Pihak pembangkang tidak menolak usul pengisytiharan harta oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) namun mahu perkara itu harus dibuat terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya melalui Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.

Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pindaan kepada usul berkenaan adalah penting selari dengan konsep pengasingan kuasa melibatkan badan perundangan dan badan eksekutif bagi mengelak sebarang pertindihan mahupun penyalahgunaan kuasa.

“Yang Dipertua Dewan (Speaker) tiada kuasa untuk menyemak borang yang dikemukakan. Saya hendak tanya, kalau borang ini dihantar kepada Speaker, Speaker hendak buat apa dengan borang ini? Simpan, tengok, baca, fotostat? Tidak boleh.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita seolah-olah menodai atau memperkosa konsep pengasingan kuasa. Lebih teruk, menurut usul ini, satu salinan borang tersebut hendaklah diberikan kepada SPRM, ini apa cerita? Kita telah mengambil kuasa SPRM kerana SPRM hanya dapat salinan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul pengisytiharan harta tersebut yang diusulkan oleh Terence Naidu (DAP-Pasir Bedamar) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mengikut usul tersebut, sesuai dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan, semua ADUN hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang dalam akaun berkanun.

Namun begitu, sebelum memulakan perbahasan, Koo Ham menggunakan kuasanya sebagai Speaker melalui Perintah Tetap 30(4) untuk membuat pindaan terhadap usul tersebut dengan menambah perkataan ‘dalam bentuk dan borang sepertimana yang ditetapkan oleh Yang Dipertua Dewan Negeri’.

Sehubungan itu, Saarani menegaskan, perkataan ‘borang yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Negeri’ memanifestasi Speaker telah pun mempunyai dokumen berkenaan dan ia berlainan dengan SPRM, justeru ia merupakan satu perbuatan salah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini