PUTRAJAYA 23 Julai – Seorang hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baru, Selangor direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes suapan sejumlah wang untuk tujuan melepaskan pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada tahanan pihak berkuasa.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya hari ini memaklumkan perkara itu ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp.
Lelaki berumur 45 tahun itu yang sepatutnya hadir ke Mahkamah Putrajaya, hari ini direman di Hospital Putrajaya ketika mendapatkan rawatan akibat masalah kesihatan.
Semalam media melaporkan, SPRM menahan seorang hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baru susulan penahanan seorang peguam, timbalan pendakwa raya (DPP) dan beberapa anggota polis untuk siasatan kerana melepaskan PATI daripada tahanan pihak berkuasa.
Menurut Latheefa, sejumlah wang juga telah dirampas ketika tangkapan dibuat, namun beliau tidak menyatakan jumlahnya.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu semalam membenarkan tempoh reman terhadap seorang peguam dan timbalan pendakwa raya dilanjutkan dua hari berakhir hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai penahanan enam anggota polis serta timbalan pendakwa raya dan peguam pada 17 Julai lalu kerana menerima rasuah.
Hasil penangkapan itu, wang tunai RM17,500 turut ditemukan dipercayai suapan yang diterima mereka.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 16(a)(b) Akta SPRM atas kesalahan sogokan. – UTUSAN ONLINE











