LONDON – Jens Lehmann percaya, Arsenal mampu menggantikan Pierre-Emerick Aubameyang sekiranya pemain itu berhijrah ke Manchester United.
Pada masa sama, dia melihat The Gunners sebagai sebuah pasukan yang tiada sebarang hala tuju ketika ini.
Arsenal menamatkan saingan liga di kedudukan kelima musim lalu, satu mata di belakang Tottenham di kedudukan keempat selepas kehilangan mata kepada Leicester dan Brighton.
Berita berkaitan:
Mereka hampir meraih tiket ke Liga Juara-Juara selepas berada di final Liga Europa namun tewa 1-4 kepada Chelsea.
Keputusan itu menyaksikan The Gunners terpaksa mengehadkan perbelanjaan namun Lehmann percaya, penjualan Aubameyang mampu menjana pendapatan tambahan buat kelab itu bagi membeli pemain lain.
“Jika dia mahu ke United, pemain baharu yang lebih baik boleh menggantikannya.
“Arsenal tidak seharusnya berada di tangga kelima atau keenam liga,” katanya.
Situasi Aubameyang ketika ini hampir sama seperti Robin van Persie pada 2012 dan penjualan Aubameyang membolehkan Unai emery membawa masuk Wilfred Zaha.
Bagaimanapun, Lehmann melihat situasi yang melanda Arsenal ketika ini jauh lebih rumit.
“Semua pemain di Arsenal sangat bagus tetapi mereka mahukan kejuaraan.
“Mereka berada di final Liga Europa tetapi mereka tewas. Mereka tamatkan liga dengan kekecewaan. Buat masa sekarang, tiada siapa yang tahu ke mana arah tuju mereka,” katanya.-AGENSI











