BACHOK – Dua suspek yang menyerang seorang guru Penolong Kanan Pentadbiran (PKP) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gunung, baru-baru ini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas kedua-dua lelaki itu yang dipercayai dua beradik berumur 42 dan 30 tahun dibenarkan oleh Majistret Azem Fatihi Kamal di Mahkamah Majistret Bachok hari ini.
Kedua-dua suspek lelaki itu sebelum ini menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok semalam selepas berita mengenai kes serang guru akan disiasat polis selepas mangsa terlibat membuat laporan polis pada malam hari kejadian.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memukul dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
Ahad lepas, tular satu rakaman video berdurasi 3 minit 31 saat memaparkan 2 lelaki menyerang seorang guru di dalam perkarangan sebuah sekolah akibat salah faham berhubung anak saudara jagaannya yang digantung persekolahan.
Video itu turut memperlihatkan seorang daripada suspek bertindak mengasari dan cuba mengheret guru berusia 52 tahun ke luar pagar sekolah. – K! ONLINE











