KUALA LUMPUR 23 Julai – Defisit fiskal Malaysia dijangka berada dalam jajaran antara 3.2 hingga 3.4 peratus pada 2020 sekiranya kerajaan melaksanakan belanjawan yang mesra perniagaan dan pengguna serta belanjawan pengembangan bagi 2020, kata Affin Hwang Investment Bank Bhd.
Ketua Penyelidikan dan Ketua Ekonominya, Alan Tan berkata, belanjawan itu akan dapat menyediakan lonjakan jangka sederhana kepada ekonomi negara dan mengimbangi prestasi perlahan eksport di tengah-tengah perang dagangan Amerika Syarikat (AS)-China.
“Belanjawan itu boleh termasuk langkah-langkah yang menyokong penggunaan swasta dan strategi yang boleh memacu pelaburan.
“Dan satu daripada cadangan saya adalah dengan melihat kepada kemungkinan pemotongan cukai pendapatan korporat,” katanya pada taklimat media mengenai prospek pasaran bagi separuh kedua 2019 di sini hari ini.
Langkah-langkah yang boleh meningkatkan persaingan cukai di rantau ini akan membantu negara menarik lebih banyak pelaburan langsung asing, katanya.
Menurutnya, Belanjawan 2020 yang dijangka dibentangkan pada 11 Oktober juga akan memasukkan Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan diperkenalkan tahun depan.
Meskipun bersetuju dengan pandangan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa defisit tiga peratus sukar dicapai pada tahun depan, Tan berkata, jajaran 3.2 hingga 3.4 peratus boleh membawa kepada agensi penarafan seperti Fitch, Moody’s atau S&P mengekalkan penarafan ‘stabil’ Malaysia dan bukan menurunkannya.
“Lagipun, 2020 akan menjadi tahun yang mencabar di peringkat antarabangsa,” katanya.
Terdahulu dalam pembentangan beliau pada hari ini, Tan melahirkan kebimbangan terdapat kemungkinan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menurunkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia kepada 3.1 peratus pada 2020, susut daripada unjuran semasa 3.6 peratus, sekiranya AS mengenakan 25 peratus lagi tarif ke atas baki import China bernilai AS$300 bilion (RM1.24 trilion) pada lewat suku ketiga hingga suku keempat tahun ini.
Beliau berkata, ketegangan perdagangan AS-China tidak dijangka selesai dalam tempoh terdekat ini yang boleh menyebabkan unjuran KDNK IMF turun sehingga sebanyak 0.5 peratus bagi 2020.
“Dan pertumbuhan KDNK turun di bawah tiga peratus akan membayangkan kemelesetan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau percaya KDNK Malaysia akan berkembang 4.5 peratus tahun ini disokong oleh asas utuh, penggunaan swasta dan permintaan domestik yang kukuh serta peningkatan perbelanjaan pembangunan kerajaan daripada suku ketiga dan seterusnya.
Memandangkan perang perdagangan yang berterusan, Tan percaya Malaysia akan mendapat manfaat daripada pengalihan perdagangan walaupun hanya bagi tempoh yang singkat.
Mengenai unjuran petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia FBM KLCI, firma penyelidikan itu menjangkakan ia mencecah paras 1,679 pada akhir tahun dengan ringgit diniagakan pada RM4.10 berbanding dolar AS pada akhir 2019 dan mencecah RM3.90 hingga RM4 pada 2020. – BERNAMA











