BATU GAJAH 23 Julai – Polis Perak berhasrat menjadikan Balai Polis Tronoh di sini sebagai Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandangkan bangunan balai berusia lebih 100 tahun itu mempunyai nilai sejarah yang tinggi.
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan rasmi kepada pengurusan Bukit Aman supaya koleksi sejarahnya dapat ditatap generasi akan datang.
“Balai Polis Tronoh yang dibuka sejak 1906 ini mempunyai nilai dan kisah sejarahnya yang tersendiri dan ia merupakan antara balai polis tertua di Malaysia selain Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor yang dibuka pada 1940.
“Jika diluluskan, pelbagai barangan lama yang digunakan polis pada waktu itu termasuk gari, senjata-senjata lama seperti parang dan benet serta telefon lama akan dipamerkan di muzium ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Lawatan dan Penyerahan Perabot ke Balai Polis Bersejarah Balai Polis Tronoh yang disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (Start) Bukit Aman, Datuk Seri Tajudin Md. Isa di balai berkenaan hari ini.
Tambah Razarudin, pihaknya juga akan meminta kakitangan Muzium Polis Diraja Malaysia datang ke sini dan mengcungkil sejarah sejak balai bersejarah ini dibuka.
Menurutnya, sejak mula beroperasi sehingga 1948, keanggotaannya kebanyakannya daripada keturunan Sikh dan Gurkha sebelum PDRM meletakkan pegawai berpangkat Asisten Superintenden dan Inspektor di balai itu.
“Kita juga akan mencadangkan satu bangunan baharu untuk operasi Balai Polis Tronoh bersebelahan balai sedia ada sekarang dengan tambahan 20 unit berek polis,” katanya.
Katanya, kos untuk menjadikan Balai Polis Tronoh sebagai muzium dan pembinaan bangunan baru juga masih belum diputuskan memandangkan ia masih di peringkat cadangan. – UTUSAN ONLINE











