IPOH 23 Julai – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengalami jangkitan ringan pada kaki kiri akibat ekzema dan perlu menjalani rawatan antibiotik selama tiga hari bermula hari ini.
Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan memaklumkan, susulan perkara tersebut, Ahmad Faizal dinasihatkan oleh doktor untuk berehat di hospital bagi tujuan rawatan.
“Bagaimanapun Ahmad Faizal akan tetap menghadiri Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Dewan Negeri Ke-14 Perak Darul Ridzuan serta menjalankan tugasan-tugasan rasmi yang lain,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Akibat jangkitan tersebut, Ahmad Faizal menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan menggunakan topang termasuk ketika sesi soalan lisan.
Sidang DUN kali ini hanya berlangsung selama dua hari bermula hari ini. – UTUSAN ONLINE











