KUALA LUMPUR 23 Julai – Pasaran hartanah Malaysia menunjukkan tanda-tanda berada pada paras terendah dan dijangka meraih momentum pada separuh kedua 2019, menurut Knight Frank Malaysia.
Pengarah Urusannya, Sarkunan Subramaniam berkata, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang dilanjutkan akan terus meningkatkan minat dalam kalangan pembeli rumah bagi segmen kediaman, selain menawarkan peluang kepada pemaju untuk menjual rumah sedia ada.
“Kita akhirnya menyaksikan harapan dalam pasaran perumahan. Kempen HOC 2019 yang telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2019 dijangka memberi tarikan kepada pasaran perumahan termasuk segmen kondominium mewah dan pangsapuri perkhidmatan.
“Ramai pemaju menyertai HOC berikutan ia menawarkan peluang yang baik kepada mereka untuk menjual inventori sedia ada yang merupakan positif kepada pasaran kediaman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Syarikat itu melancarkan laporan penyelidikan terkininya, Real Estate Highlights 1st Half of 2019 hari ini, yang menunjukkan trend hartanah dan prospek dalam pasaran utama Malaysia.
Katanya, HOC 2019 sebagai antara program yang banyak memberi impak kepada pasaran kediaman dalam tempoh tersebut meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia dan untuk menangani hartanah tidak terjual.
Bagaimanapun, katanya, semasa sentimen pengguna terus lemah, jualan runcit kekal dalam fasa pengembangan.
Katanya, pengendali pusat beli-belah sedia ada perlu terus mengkaji semula campuran penyewa dan perniagaan mereka untuk memastikan ia kekal menarik dan memenuhi keperluan pengguna manakala peruncit perlu melakukan pembaharuan dengan menggunakan teknologi untuk menambah baik pengalaman dalam kedai.
Menurut laporan itu, dengan adanya penawaran pejabat dengan gred yang baik dan pada kadar sewa yang kompetitif serta jajaran transit rel awam yang diperluaskan telah meningkatkan populariti lokasi cawangan pejabat. – BERNAMA











