KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas 40 unit ‘Ghost Smoke Cool Fruit Powder’ yang dijual berhampiran sebuah sekolah di bandar ini hari ini.
Pengarah KPDNHEP negeri, Adnan Abd Rahman berkata, ia hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri dan cawangan yang dijalankan ke atas premis-premis terutama berhampiran kawasan sekolah dan kawasan sempadan negara di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, operasi bermula pada pukul 9.00 pagi dan setakat ini sebanyak 12 premis sudah diperiksa namun operasi masih lagi berjalan terutama untuk mengesan pembekal yang terlibat.
“Kami bertindak atas aduan mengenai penjualan gula-gula ini dan hasil pemeriksaan telah menjumpai lebih kurang 40 unit ‘Ghost Smoke Cool Fruit Powder’ dijual berhampiran sebuah sekolah di bandar ini.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, harga jualan kepada pelajar sekolah adalah 50sen seunit dan bekalan diperolehi dari pembekal di sekitar Kota Bharu. Pemeriksaan sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal barang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mahu tindakan diambil bagi menghentikan segera penjualan vape dan gula-gula ‘Ghost Smoke’ yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok di kalangan murid-murid sekolah.
Sementara itu, Adnan berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM250,000 bagi suatu pertubuhan perbadanan.
Katanya, jika pihak terbabit bukan suatu pertubuhan perbadanan, orang itu akan didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya di bawah akta yang sama.
“KPDNHEP negeri akan sentiasa memantau dari masa ke semasa berhubung perkara ini dan pihak yang terlibat diminta supaya mematuhi peruntukkan undang-undang,”katanya.
Selain melaporkan ke mana-mana pejabat KPDNHEP terdekar, orang ramai digalakkan membuat sebarang aduan melalui talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC); talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 1-800-886-800; aplikasi telefon pintar Ez ADU; emel ke alamat [email protected]; pesanan ringkas (SMS) ke 15888 dengan menaip “KPDNHEP ADUAN











