IPOH 23 Julai – Kekecohan berlaku ketika penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Perak hari ini yang berpunca daripada perang mulut sesama penyokong Perak yang mengakibatkan suasana tegang.
Difahamkan, insiden yang berlaku tidak lama selepas kaunter jualan tiket dibuka pada pukul 10.30 pagi itu berpunca daripada provokasi yang dilakukan penyokong hingga membawa kepada adengan tolak menolakantara mereka.
Bagaimanapun, keadaan yang berlarutan selama beberapa minit itu berjaya dikawal oleh anggota polis yang kemudiannya menyuraikan kesemua penyokong terlibat.
Sementara itu, tinjauan di Stadium Perak mendapati penyokong The Bos Gaurus mula beratur di kaunter jualan sejak awal pagi bagi membeli tiket meskipun kaunter hanya dibuka pada pukul 10.30 pagi.
Malah, ada antara mereka yang sanggup datang awal dan bermalam di pekarangan stadium kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan aksi Perak dan Kedah di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Menurut seorang penyokong, Ahmad Iqbal Abd. Aziz 21, usahanya dan seorang rakan bermalam di Stadium Perak demi mendapatkan tiket perlawanan akhir itu berbaloi apabila menjadi antara yang terawal
membeli tiket berkenaan.
Katanya, dia sendiri sanggup mengambil cuti kerana tidak mahu beratur panjang dan menunggu terlalu lama.
“Kami tiba di stadium pada pukul 12 tengah malam tadi dan ketika itu cuaca baru nak hujan, namun sebagai penyokong tegar pasukan Perak, keadaan cuaca seperti itu bukanlah masalah besar.
“Memang berbaloi saya ambil cuti semata-mata untuk mendapatkan tiket. Tunggu lama pun tidak mengapa asalkan menjadi orang paling hadapan di kaunter dan pembeli tiket terawal,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Perak di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











