ALOR SETAR – Tidak seperti edisi-edisi perlawanan akhir membabitkan Kedah sebelum ini, kehadiran penyokong yang mahu mendapatkan tiket kelihatan suram apabila hanya sekitar 2,000 orang sahaja yang beratur di Stadium Darul Aman, hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di lima buah kaunter yang dibuka sejak pukul 10.30 pagi ini, keadaan mula lengang setelah kira-kira 30 minit kesemua kaunter itu dibuka, malah orang ramai mudah mendapatkan tiket masing-masing.
Suasana itu sama sekali berbeza ketika Kedah layak ke perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia pada 2017 apabila kekecohan berlaku di kaunter-kaunter tiket ekoran kebanjiran penyokong.
Seorang peminat, Mohd. Rashidi Saad, 45, berkata, persembahan Lang Merah yang naik turun sepanjang musim ini mungkin menjadi penyebab kepada suasana suram berkenaan.
“Hari ini jualan tiket nampak sedikit perlahan tidak seperti dahulu kerana kebiasaannya perlawanan akhir memang ramai yang hadir dan tiket juga habis dijual tidak sampai satu jam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mohd. Adli Azlan, 22, pula berkata, dia tidak perlu menunggu lama sebaik kaunter dibuka, berbeza berbanding pada 2017 yang menyebabkan dia terpaksa berhempas pulas untuk mendapatkan sekeping tiket.
“Tahun ini dalam sejarah orang tak ramai dan tiket pun banyak lagi kerana orang nak lihat corak permainan yang baik, tetapi apabila persembahan pemain import kurang menyerlah mungkin tak ramai yang akan pergi,” katanya.
Bagaimanapun, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Anas Hafiz Mustafa tangkas menafikan perkara itu kerana jumlah tiket yang dijual kali ini lebih banyak berbanding perlawanan-perlawanan lalu.
Menurutnya, proses jualan tiket juga berjalan lancar dan teratur ditambah lagi faktor kaunter khas yang dibuka kepada peminat wanita dan pembelian berkelompok untuk rombongan bas atau van.
“Kita menjangkakan peminat mempunyai masa yang cukup untuk membeli tiket sehingga kaunter ditutup pukul 4.30 petang ini dan jumlah 20,000 yang diperuntukkan untuk dijual di kaunter juga mencukupi.
“Justeru, mereka tidak perlu berebut-rebut untuk membeli tiket seperti dahulu yang jumlahnya tidak sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, beliau turut menafikan kekalahan Lang Merah kepada Felda United dalam aksi Liga Super, Ahad lalu menjadi penyebab kepada kekurangan peminat yang hadir untuk membeli tiket masing-masing.
“Itu satu tanggapan yang salah kerana kita tidak boleh menjadikan keputusan itu sebagai kayu ukur untuk perlawanan akhir ini kerana Piala FA bukan seperti liga memandangkan tidak mudah untuk layak sehingga ke akhir,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan, KFA akan memohon kebenaran pihak Stadium Shah Alam untuk menjual tiket kepada penyokong Lang Merah di sekitar Lembah Klang, Jumaat ini. – UTUSAN ONLINE











