ALOR SETAR – Di sebalik kekalahan 5-1 pasukan bola sepak Kedah dalam perlawanan terakhir Liga Super menentang Felda kelmarin, sokongan peminat terhadap pasukan kesayangan mereka tidak pernah berbelah bahagi.
Sokongan itu dibuktikan apabila mereka sanggup beratur awal bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala FA di Stadium Darul Aman sejak pukul 6 petang semalam, biarpun kaunter jualan hanya dibuka pukul 10.30 pagi ini.
Tinjauan Utusan Malaysia tengah malam tadi mendapati, kaunter-kaunter tiket di stadium itu sudah ‘ditempah’ peminat yang mahu mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Biarpun hujan lebat, seorang peminat, Mohd. Nazmi Salim, 20, berkata, dia tiba di perkarangan stadium sejak pukul 5.30 petang kerana bimbang tidak dapat berada dalam kelompok terawal untuk mendapatkan tiket.
“Setiap kali Lang Merah melangkah ke perlawanan akhir kami akan beramai-ramai berkampung di stadium untuk membeli tiket, seronok dapat berkumpul ramai-ramai sementara menanti hari siang dan kaunter dibuka,” katanya ketika ditemui.
Bagi Ku Azman Ku Yau, 34, berkata, dia bersama empat orang rakannya dari Kodiang rela mengorbankan waktu tidur di rumah masing-masing bagi memastikan dapat membeli tiket.
“Selalunya kami mengikuti rombongan menaiki bas, tetapi kali ini kami merancang untuk memandu sendiri ke Kuala Lumpur, jadi terpaksa beratur awal untuk membeli tiket,” katanya.
Seorang lagi penyokong, Mohd. Nizam Azhar Sabri, 25, dari Gurun pula berkata, dia lebih gemar menunggu pada waktu malam kerana cuaca lebih sejuk berbanding terpaksa beratur ketika panas.
“Saya tiba selepas Maghrib, ingatkan belum ada orang tetapi rupa-rupanya sudah ada yang lebih awal beratur dengan ada yang membawa buaian, kotak untuk mengalas badan dan sebagainya.
“Suasana pun tidak sunyi kerana ramai yang turut menunggu di kaunter memandangkan mereka bimbang tidak dapat tiket sekiranya datang pada waktu siang,” katanya.
Pada 27 Julai ini, Kedah akan menentang Perak dalam perlawanan akhir Piala FA selepas kedua-dua pasukan itu mengenepikan lawan masing-masing pada peringkat separuh akhir, sebelum ini.
Sebanyak 20,000 keping tiket dijual di stadium berkenaan kali ini khusus untuk peminat pasukan Kedah yang tidak mahu memberikan sokongan padu kepad pemain di atas padang. – UTUSAN ONLINE











