Berang tiada makanan di dapur, penagih dadah cuba bakar rumah - Utusan Malaysia

Berang tiada makanan di dapur, penagih dadah cuba bakar rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH 23 Julai – Hanya kerana marah disebabkan kelaparan, seorang lelaki berusia 34 tahun cuba membakar rumahnya dalam kejadian di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, lelaki berkenaan yang juga bekas banduan yang baru dibebaskan menyimbah dinding hadapan rumahnya dengan minyak petrol sebelum mencucuh api.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian itu bagaumanapun disedari ibu suspek sebelum memaklumkan kepada suaminya yang sedang tidur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ayah suspek berusia 63 tahun yang bergegas bangun telah memadamkan kebakaran pada dinding kayu, namun terdapat sedikit kesan hitam pada dinding.

“Suspek dikatakan telah menyimbah minyak petrol selepas menyedutnya daripada sebuah motosikal menggunakan getah paip dan mencucuh dengan pemetik api,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noorzainy berkata, suspek yang juga penagih dadah ditahan semalam dan siasatan mendapati dia bertindak demikian selepas mendapati tiada makanan di dapur.

 

Jelas beliau, suspek yang positif dadah jenis syabu itu juga telah beberapa kali mengugut mahu membakar rumahnya sebelum ini selain pernah mengugut mahu membunuh ayahnya.

“Kebakaran itu adalah kejadian pertama namun sudah tiga laporan polis dibuat terhadapnya yang telah ditarik balik sebelum ini kerana bapanya enggan memanjangkan kes,” katanya lagi.

Noorzainy berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini