KUALA LUMPUR 23 Julai – Polis sahkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang ditahan reman bagi siasatan kes video intim akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Turut dibebaskan adalah seorang lagi rakan Farhash yang ditahan di Masai, Johor.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
“Ketiga-tiga mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 3 petang manakala seorang lagi individu iaitu ahli perniagaan yang ditangkap di Shah Alam sebelum ini akan tamat reman esok,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Isnin lalu, media melaporkan Haziq bersama lima lelaki ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan (terlibat dengan seks luar tabii), Seksyen 292 Kanun Keseksaan (memiliki bahan lucah) dan Seksyen 323 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (menyebarkan video lucah) sebelum lima individu tersebut dibebaskan tiga hari kemudian.
Keesokannya, tiga lagi individu termasuk seorang setiausaha politik berusia 29 hingga 37 tahun ditahan di sekitar Johor Bahru kira-kira pukul 2.30 petang. Seorang daripada mereka dibebaskan selepas diambil keterangan.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan dua lagi individu ditahan di sebuah hotel di Glenmarie, Shah Alam dan Taman Sri Andalas, Klang bagaimanapun individu yang ditahan di Klang dibebaskan selepas keterangan diambil.-UTUSAN ONLINE











